Khusyuk itu bermakna asyik. Khusyuk di
dalam solat bermakna asyik dengan Allah SWT. Syarat untuk asyik adalah
yakin. Sesiapa yang khusyuk ketika solat adalah mereka yang yakin bahawa
mereka SEDANG bertemu dengan Allah SWT. Mereka yakin bahawa mereka
SEDANG kembali kepada Allah SWT.
Kesedaran kembali kepada Allah SWT itu
bermakna SEDAR sedang mendirikan solat, sedar sedang berjumpa dengan
Allah SWT dan sedar Allah SWT itu berada sangat dekat malah lebih dekat
daripada urat leher.
Ketika kita berbual dengan sahabat, kita
terlebih dahulu sedar dan yakin bahawa sahabat kita ada di hadapan kita
dan sedang berbual dengan kita. Jika kita tidak sedar dan tidak yakin
bahawa sahabat kita berada di hadapan kita, pasti kita tidak akan
berbual.
Untuk doa dimakbulkan, kita perlu yakin dengan Allah SWT bahawa Allah SWT akan memperkenankan permohonan kita.
Namun keyakinan ini menjadi masalah kepada ramai di antara kita. Kita
memohon tetapi kurang yakin bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa
kita.
Seperti
contoh, saya berjumpa dengan ramai orang yang amat takut dengan
kematian kerana berasa diri banyak dosa dan belum bersedia. Terasa dosa
yang ada tidak diampunkan oleh Allah SWT. Namun dalam ketakutan itu,
kita tidak pula bersungguh-sungguh untuk berada dekat dengan Allah SWT.
Saudara, kematian bererti pulang atau
kembali kepada Allah SWT. Kita tidak perlu takut dengan kematian kerana
kematian itu membuatkan kita kembali kepada Allah SWT. (Yang saya takuti seandainya kematian tidak pulang ke Allah SWT. Namun tidak ada kematian yang tidak pulang ke Allah SWT.)
Sebenarnya
yang perlu kita takut bukanlah kematian itu tetapi yang perlu kita
takutkan adalah saat ketika kita mati itu. Ketika nafas terakhir kita
itu, adakah kita berada dalam kesedaran tertinggi di mana kita yakin
kepada Allah SWT?
Makanya
seharusnya kita ini bimbang tatkala melakukan maksiat, Allah SWT
memanggil kita pulang. Kita seharusnya bimbang di kala kita lupakan
Allah SWT, Allah SWT menjemput kita pulang. Kita seharusnya bimbang,
ketika kita seronok dan alpa dengan harta benda dan pangkat, Allah SWT
meminta kita untuk pulang.
Saudara,
Tidak yakin bahawa Allah SWT menghapuskan dosa kita membuatkan hidup
kita takut dengan kematian. Kita berasa takut untuk mati kerana berasa
terlalu banyak dosa.
Tujuan agar kita selalu
memikirkan dosa yang lalu adalah hanya untuk mengingatkan diri kita agar
tidak mengulangi kesalahan kita lagi kerana bimbang tatkala melakukan
dosa tersebut, kita dipanggil oleh Allah SWT untuk pulang
selama-lamanya. Bukan bertujuan agar kita terbelenggu dengan dosa-dosa
yang kita ada sehingga kita takut dengan kematian.
Kita perlu YAKIN bahawa
ketika kita memohon ampun kepada Allah SWT, Allah SWT terus
mengampunkan dosa-dosa kita. Jika dosa kita setinggi gunung, yakinlah
bahawa ampunan Allah SWT seluas langit dan bumi.
Keyakinan ini bukanlah disalahertikan
bahawa kita boleh melakukan banyak dosa kerana semua dosa kita diampuni.
Seperti yang saya jelaskan, kita perlu bimbang melakukan dosa kerana
kita tidak tahu bilakah masa kematian kita.
Mungkin selama ini kita banyak beribadah
kepada Allah SWT dan terdetik seketika kita ingin melakukan maksiat
sekadar ingin tahu. Kita berfikir untuk memohon ampun selepas itu.
Kita tidak tahu ketika kita melakukan
maksiat buat pertama kali setelah sekian lama tidak melakukannya, ketika
itu Allah SWT melalui malaikatNya mencabut nyawa kita. Inilah saat-saat
yang kita bimbang dan takuti jika ia terjadi pada diri kita.
Nau’zubillah.
Meningkatkan Keyakinan Kepada Allah SWT
Saudara,
Untuk meningkatkan keyakinan kepada
Allah SWT, kita perlu sentiasa berada dalam kesedaran tertinggi. Setiap
saat ingat Allah SWT. Setiap apa yang kita lakukan, kita ingat Allah SWT. Kita melihat semua yang berlaku dalam hidup seharian kita ini merupakan aturan Allah SWT yang sangat teliti.
Seperti contoh yang amat mudah, hari ini
saudara keluar makan tengah hari bersama sahabat. Lihatlah bagaimana
Allah SWT aturkan bahawa hari ini saudara terasa ingin keluar dengan
sahabat saudara itu dan Allah SWT aturkan bahawa sahabat saudara juga
berasa ingin keluar dengan saudara pada hari itu.
Saudara lihat ketika saudara keluar
makan bagaimana Allah SWT mengaturkan perjalanan setiap orang. Saya suka
melihat gelagat orang ramai disamping sedar bahawa Allah SWT sedang
mengaturkan makhluk-makhlukNya bergerak ke sana sini dengan pelbagai
urusan. Semua urusan itu merupakan masalah ataupun hal yang perlu
diselesaikan oleh setiap orang.
Saudara,
Dengan melihat sesuatu perkara dalam
kesedaran tertinggi, kita akan sentiasa kagum dengan Allah SWT.
Keyakinan kita dapat ditambah lagi apabila permohonan kita dimakbulkan
oleh Allah SWT. Ini kerana saudara mempraktikkan apa yang pernah
disarankan dalam laman web ini iaitu meminta kepada Allah SWT sebelum
melakukan apa jua perkara dan pilihan.
Hidup kita ini penuh dengan pilihan dan
kita sentiasa memohon kepada Allah SWT ketika ingin membuat pilihan
walaupun kecil. Ketika ini barulah kita sedar selama ini Allah SWT lebih
banyak memakbulkan doa kita daripada yang tidak dimakbulkan atau
sebenarnya dalam proses untuk dimakbulkan.
Seperti contoh, jika kita sentiasa
memohon kepada Allah SWT di dalam membuat pilihan walaupun ia kecil
seperti ingin makan apa hari ini, dan makanan yang kita pilih itu
ternyata sedap, maka keyakinan kita pada Allah SWT meningkat.
Contoh yang lain, ketika kita ingin
berurusan dengan bank, kita memohon kepada Allah SWT agar dimudahkan
urusan kita. Ternyata semua urusan kita berjalan lancar. Apabila kita
sedar bahawa Allah SWT memakbulkan doa kita dengan melancarkan urusan
kita, maka keyakinan kita kepada Allah SWT bertambah.
Sebelum ini kita tidak pernah meminta pada Allah SWT di dalam membuat pilihan. Kita tidak melibatkan Allah SWT di dalam setiap urusan kita walaupun kecil. Lalu kita tidak berasa yakin pada Allah SWT kerana kita anggap semua yang berlaku adalah pilihan dan usaha kita sendiri.
Disebabkan kita jarang melihat semua
aturan hidup ini diaturkan oleh Allah SWT, maka ketika kita memerlukan
Allah SWT dan berdoa, kita tidak yakin kepada Allah SWT bahawa Allah SWT
akan memakbulkan doa-doa kita.
Jika permohonan kita tidak dimakbulkan
pun, kita tetap yakin dengan Allah SWT. Kita yakin bahawa perkara yang
kita mohon itu bukan yang terbaik di sisi Allah SWT dan juga apa yang
kita mohon tidak sesuai untuk Allah SWT makbulkan ketika itu. Dengan
kesedaran ini, jiwa kita tidak kecewa dan kita menerima takdir Allah
SWT. Secara tak langsung sebenarnya kita menjadi hamba yang berserah
pada Allah SWT 100%.
Saudara,
Saya sangat yakin dengan apa yang saya
mohonkan kepada Allah SWT kerana terlalu banyak yang saya mohon, Allah
SWT makbulkan. Keyakinan ini wujud apabila sebelum kita memilih, kita
sentiasa memohon yang terbaik daripada Allah SWT walaupun dalam hal yang
kecil.
Apabila apa yang kita mohon dimakbulkan
walaupun perkara kecil, kita sedar bahawa yang memakbulkan adalah Allah
SWT bukannya kerana kita pandai memilih atau juga sebuah kebetulan. Lalu
keyakinan kita kepada Allah SWT di dalam memakbulkan permohonan kita
bertambah.
Saudara,
Kesedaran tertinggi membuatkan kita
lebih yakin dengan Allah SWT dan keyakinan itu tidak pernah turun malah
meningkat dan meningkat.
Hidup ini penuh dengan pilihan. Lalu
mohonlah pada Allah SWT sentiasa di dalam membuat pilihan walaupun
sekadar untuk makan, mandi, berjalan ke mana-mana atau ketika
membeli-belah kerana semua ini akan membuatkan kita sedar pada Allah
SWT. Secara tak langsung ia akan meningkatkan keyakinan kita pada Allah
SWT.